Sunday, October 7, 2012

Pembenihan Ikan Keli, Patin dan Baung

Teknik membuat pembenihan ikan kategori Catfish (ikan Keli, Patin dan Baung)

Peralatan yang diperlukan

1-Sebuah takungan air yang sesuai, kedalaman air 4-5 inci.
2-Mesin pembekal oksigen.
3-Alat pemanas (mentol elektrik atau alat pemanas akuarium)
4-Jaring berbentuk plat (kalau ada) 

Peralatan pembedahan dan pembenihan.

5-Pisau, gunting kecil
6-Mangkuk bulat
7-Hormon Ovaprim
8-Jarum suntikan
9-Bulu ayam atau berus lembut.

Penerangan 

(Pukul 9.00 PM) Catatkan masa anda mula bekerja, suntik induk keli jantan dan betina, jumlah hormon adalah mengikut berat ikan. Kalau induk keli beratnya 1 kg keatas, jumlah hormonnya adalah sebanyak 0.50ml (separuh jarum 0.1ml). Kalau beratnya dalam lingkungan 80-90 gram (sebesar lengan atau kurang) jumlah hormonnya seperti pembenihan puyu dan sepat.

Selepas induk disuntik, simpan dalam kolah selama 12 jam untuk memberi masa supaya hormon memberi kesan kepada ikan. Selepas 12 jam itu, kerja mengambil sperma jantan dan meleret telur dilakukan. Gaulkan sperma dengan telur (proses persenyawaan) dan dimasukkan kedalam kolah pembenihan. 12 jam berikutnya, telur-telur itu mula menetas.

(Sebaiknya kerja menyuntik dilakukan pada pukul 9.00 malam dan kerja meleret telur pada pukul 9.00 pagi keesokannya.Pada pukul 9.00 malam berikutnya rega keli sudah mula kelihatan)

Kawasan disuntik adalah di sebelah sirip atasnya dan menghala ke arah kepalanya seperti gambar dibawah.

Menyuntik Induk Keli






Selepas induk disuntik, simpan didalam kolah yang berasingan mengikut jantina.(untuk mengelakkan mereka mengawan dan telur  terkeluar)





(Pukul 9.00 AM) Membedah Induk jantan untuk diambil testesnya.



Membedah Induk Keli Jantan

Dengan menggunakan pisau dan gunting bedah badan Induk jantan dikawasan bertanda garisan hijau dan sepasang testesnya diambil.

Bagi yang tidak tergamak membedah ikan keli ini hidup-hidup, masukkan ikan keli ini kedalam besen dan taburkan garam kasar keatasnya, induk keli akan mati  bila terkena garam.(kalau lambat mati terpaksa dipotong jugalah)

T
Testes yang telah dibersihkan. Testes ini kemudian digunting kecil-kecil dan diperah menggunakan kain kasa atau jaring halus.Sperma yang didapati itu dikumpulkan dalam sebuah piring kecil untuk digaulkan dengan telur ikan. 

Meleret telur dari induk betina


Meleret Telur Keli Betina
Sediakan sebuah mangkuk yang sesuai untuk menadah telur dari induk betina, Urut perutnya perlahan-lahan dan biarkan telurnya memancut masuk ke dalam mangkuk itu.

(Setelah selesai kerja meleret telur ini, biasanya induk betina dalam keadaan yang amat lemah, rehatkannya dalam takungan beroksigen selama beberapa jam / hari (bergantung kepada keadaannya) dan diberi makan sehingga kelihatan sihat dan cergas barulah dilepaskan semula ke dalam kolam induk.)

Sperma dimasukkan kedalam mangkuk berisi telur itu dan digaul perlahan-lahan menggunakan bulu ayam atau berus lembut Masukkan sedikit air kedalam campuran itu dan kacau perlahan-lahan selama 2-3 minit sehingga nampak sebati dan merata.

Tuangkan telur yang telah disenyawakan ini kedalam takungan air beroksigen, kalau ada jaring berbentuk plat, tuangkan diatas jaring itu. (jaring berbentuk plat ini ditenggelamkan sedalam suku inci ditengah-tengah takungan itu) apabila rega menetas, keadaannya masih lemah, paras yang cetek itu membantunya untuk survival. Apabila rega beransur kuat dia akan berenang meninggalkan plat jaring itu.

Kalau tidak ada plat jaring ini pun tidak mengapa, dengan syarat telur itu disebarkan diseluruh kawasan kolah itu yang telah dipasang oksigen. Bekalan oksigen adalah wajib, bagi kolah bersaiz 4 x 8 kaki, jumlah yang sesuai adalah 6-8 unit oksigen. kalau tidak ada bantuan oksigen, pembenihan ini tidak akan menjadi.

Dalam masa 12 jam berikutnya, telur-telur ini mulai menetas, rega ini berwarna hitam dan mudah dilihat.
Alat Pemanas Akuarium atau Mentol Elektrik
Pada waktu malam, alat pemanas hendaklah dipasang supaya suhu air tidak terlalu sejuk. Suhu yang baik ialah 33°-35° C. Suhu air yang suam akan mempercepatkan penetasan telur dan menyihatkan rega.

Dari masa ke semasa (2-3 jam sekali) telur-telur ini hendaklah gerakkan untuk membebaskan rega yang menetas dan terperangkap dibawah gumpalan telur. Caranya dengan mengerakkan air menggunakan papan kecil atau alat yang sesuai supaya tercipta arus yang mengalir didalam kolah itu. Arus itu akan membalik-balikkan telur sehingga dapat membebaskan rega yang mungkin terperangkap dibawahnya.

Pada waktu ini rega tidak perlu diberi makan apa-apa sehinggalah hari ke tiga baru lah diberi makan tepung ikan atau pellet starter yang dihancurkan.

Selepas seminggu keatas, rega ini hendaklah digredkan mengikut saiznya, kalau ada rega yang lebih besar dari yang lain, sauk dengan penyauk dan asingkan ke kolah yang lain. Ini untuk mengelakkan rega yang besar memakan rega yang kecil.

Pelihara rega ini didalam kolah asuhan sehingga saiznya mencapai 1-3 inci barulah dilepaskan ke dalam kolam tanah untuk pembesaran.

Anak ikan keli berumur 10-14 hari

Sambungannya Sila klik Older Posts (di bawah sebelah kanan) 

No comments:

Post a Comment