Sunday, October 7, 2012

Membina Kolam Simen Berlantai Tanah


Keterangan:-

Teknik membuat kolam simen berlantai tanah ini disimpan rapi oleh para "old timer" dalam bidang penternakan ikan selama ini. Selalunya kolam bentuk begini digunakan untuk membuat pembenihan ikan dan mereka sentiasa dapat menghasilkan jumlah anak ikan yang besar. Kenapa??

Kos untuk membuat kolam begini memang tinggi berbanding terus mendirikan bata separas pinggang dan menyimen lantainya lepas itu dimasukkan air dan dimasukkan ikan. Anak ikan kebanyakannya akan mati kerana tidak dapat bertahan dalam kesejukan simen itu.

Pembenihan yang dijalankan dalam kolam berlantai tanah sebegini akan berjaya kerana kolam ini mendapat suhu bumi yang suam pada waktu malam.

Parit dikorek menggunakan jentera backhoe disekeliling kawasan yang hendak didirikan kolam itu sehingga berjumpa mata air. Kedalamannya mungkin 5-6 kaki. Lepas itu dipasang beam dari konkrit dan besi disekeliling kawasan kolam itu.

Selepas itu dinaikkan tembok bata dari beam sehinggalah ke permukaan bumi. Selepas itu kawasan itu ditimbus dengan tanah sehingga tidak nampak apa-apa dibawahnya. Orang yang melihat tidak akan menyangka dibawahnya ada beam dan binaan konkrit. 

Cara pemasangan bata dikenali sebagai "bata ikat sembilan" yang kukuh dan dapat menghalang resapan air keluar dari kolam diatasnya.

Kolam bentuk begini boleh dibuat seberapa luas yang dikehendaki dengan syarat sekelilingnya dipasang tembok penghalang resapan air.

Bagi sesiapa yang tidak pernah melihat kolam sebegini akan terpegun melihat anak-anak ikan yang padat dan hidup sihat didalamnya. Ditambah pula kalau tuannya menanam pokok keladi air, teratai , telipok atau tumbuhan-tumbuhan  air jenis yang berakar didalamnya.

Kunci air (Stop Cock) boleh dipasang di kolam ini, pada bila-bila masa dikendaki air boleh dikeluarkan dengan mudah untuk urusan mengutip anak ikan dan sebagainya.

Pengurusan kolam akan menjadi amat mudah berbanding penggunaan kolam tanah biasa. Walaupun kos yang tinggi dikeluarkan semasa membinanya, tetapi amat berbaloi untuk jangka panjang.

Pam Air - Keperluan paling utama kolam ikan


Setiap pengusaha kolam ikan wajib memiliki sekurang-kurang sebuah pam air yang sesuai. Terdapat 2 jenis pam iaitu pam elektrik dan pam enjin (petrol atau diesel)

Pam Elektrik
Pam elektrik adalah untuk kerja-kerja ringan seperti untuk mengisi takungan air, kolam kecil, kolam simen, kolah pvc atau asbestos.

Untuk kerja berat seperti mengeringkan dan membersihkan kolam  maka pam enjin digunakan.
Pam berenjin juga mempunyai 2 kategori iaitu pam sedutan dan pam berkipas.

Pam Enjin (Sedutan)
Pam sedutan ialah   pam yang menggunakan kuasa sedutan udara terus dari enjin menyedut air melalui salur airnya yang direndamkan didalam kolam.

(Kipas) Pam Enjin

Pam berkipas pula menggunakan  kipas pemutar yang direndamkan ke dalam kolam diputarkan dari enjin dan mengepam air naik melalui salur airnya.

Kipas Pengepam air ini ada dua saiz,  3 inci (seperti gambar diatas) dan 6 inci (gambarnya tiada) Perbandingannya adalah kalau saya hendak mengeringkan sebuah kolam tanah bersaiz 60 x 90 kaki dengan kedalaman 3-4 kaki. Kalau menggunakan kipas saiz 3 inci ini saya memerlukan masa 2 hari untuk mengeringkannya. Tapi kalau menggunakan kipas bersaiz 6 inci, dalam masa 5-6 jam sudah kering. Walaubagaimanapun, untuk menggunakan kipas 6 inci ini, enjinnya mestilah mempunyai kuasa kuda yang lebih tinggi. Kalau guna enjin biasa, elok pakai kipas 3 inci saja. 

Perbandingan pam sedutan dan pam berkipas

Pam sedutan
-Mengambil masa yang agak lama untuk menyedut air dari dalam kolam melalui salur air untuk sampai ke enjin, setelah air sampai ke enjin barulah pergerakan air lancar. Kalau tak kena cara air langsung tak naik ke enjin.
-Kuat makan minyak pasal nak bagi laju air, kena tekan minyak kuat.Kalau enjin slow, air tak naik.
-Tak boleh menyedut air berlumpur.
-Harga satu set enjin dan salur airnya lebih murah dari pam berkipas.

Pam Berkipas
-Tak perlu ambil masa yang lama, pusing je kipas air terus naik.
-Kapasiti air yang dipam lebih banyak dan pantas.
-Kalau pasang enjin slow pun air dapat naik (tapi air slow la)
-Boleh menyedut air berlumpur.
-Harga satu set enjin dan  hos kipasnya lebih mahal dari pam sedutan.

***Samada pam sedutan atau pam kipas,  setelah masa berjalan beberapa ketika (contohnya 30 minit) bahagian hujung pam (sedut atau kipas) hendaklah diperiksa sebab segala sampah, daun kering, ranting kayu dll akan melekat pada jaring penghalang sampah daripada memasuki ke dalam kawasan sedutan itu. semakin lama semakin banyak sampah yang melekat di sini mengakibatkan air yang keluar semakin lama semakin perlahan. Sampah sarap itu perlu dibuang (sediakan raga kecil ditepinya) baru lah air akan lancar semula. Keadaan ini akan berlaku terutama sekali bila air dalam kolam itu sudah hampir surut. Semasa air masih banyak dalam kolam tadi keadaan ini mungkin tidak berlaku.

Persiapan kolam untuk membuat pembenihan ikan

Perkara yang perlu dibuat sebelum pembenihan dilakukan didalam kolam tanah. Tujuannya adalah untuk membersihkan kolam dari segala jenis ikan (terutamanya ikan pemangsa seperti haruan dan belut), serangga dan kutu air yang akan memakan rega (anak ikan) dan membebaskan unsur ammonia dari tanah (dari pereputan bahan organik, najis ikan atau dari sisa makanan ikan sebelumnya)

Kolam dikeringkan

Semua air dalam kolam itu dikeluarkan samada menggunakan pam atau graviti (kalau kolam lebih tinggi dari parit pembuang air) sehingga tiada lagi air dalam kolam kecuali beberapa lopak-lopak kecil air.

Semua ikan yang ada hendaklah dikutip, kalau ada ikan yang bersembunyi dalam lumpur, akan kelihatan tanda-tandanya yang berupa tompok-tompok kecil kesan ikan itu timbul untuk bernafas setelah beberapa hari air kolam itu kering. Turun ke dalam kolam dan kutip semua ikan-ikan itu.

Mengapor kolam

Kapor yang digunakan adalah dari jenis kapur abu panas (Ca O2 / Burnt Lime / Quick Lime) , Sifat kapor abu ini adalah panas, apabila ditabur ke dalam kolam atau keatas tanah lumpur yang basah, ia serta merta  menjadi panas dan mengelegak dan akan membunuh semua hidupan yang ada disitu seperti serangga, kutu air,  anak ikan dan ikan-ikan yang bersembunyi dalam lumpur.Selain itu kapor juga dapat menstabilkan pH tanah.
Kerja-kerja Mengapor Kolam
Walaubagaimanapun kesan panasnya akan hilang beberapa minit kemudian, tetapi sempat lah ia membunuh seberapa banyak hidupan didalam kolam itu termasuk yang bersembunyi dalam lumpur. Keadaan ini menjadikan kapor ini sangat sesuai digunakan  untuk kolam ikan, berbeza dengan racun yang mempunyai kesan jangka panjang.

Semasa menabur kapor ini, pastikan anda memakai penutup hidung dan mata dan tabur mengikut arah angin. Kerana kalau tersedut debunya memang sangat menyakitkan dada, kalau terkena mata pun boleh membawa mudarat juga.

Kadangkala kapor ini sukar dicari, untuk kemudahan anda, sila berhubung dengan Jabatan Perikanan yang terdekat. Biasanya mereka tahu dimana boleh dibeli kapor ini.

Kolam dibersihkan

Dengan menggunakan 2 buah pam enjin dan kakitangan seramai 3-4 orang. Sebuah pam diletakkan pada parit taliair diluar kolam untuk mengepam air masuk untuk membersihkan kolam. Hujung hos atau salur air itu dipasang dengan paip pvc yang lebih kurang sama saiz dengan salur air itu. Hujung paip pvc itu dibentuk menjadi nipis (saya gunakan api untuk membentuknya) supaya air yang keluar nanti dapat memancut seperti paip bomba dan bentuknya nipis seperti pisau supaya air yang dipancutkan itu dapat membongkar dan membersihkan tanah kolam itu.)

Salur airnya perlu panjang sehingga dapat ditarik ke seluruh kawasan kolam itu. 2 atau 3 pekerja diperlukan untuk mengendalikan kerja ini sebab salur air akan menjadi berat bila dipenuhi air. Kolam itu dibersihkan dengan menggunakan pancutan air  yang ditembakkan keseluruh kawasan kolam. Tempoh masa yang diperlukan bergantung kepada saiz kolam dan jumlah kotoran yang terdapat dalam kolam itu. Mungkin satu hari tak boleh siap, disambung kerja itu 2-3 hari berikutnya sampailah kita yakin kolam itu telah bersih.

Satu pam lagi diletakkan dalam kolam untuk menyedut air kotor keluar. Seorang pekerja duduk ditepi kipas penyedut pam ini, kerjanya hanyalah membuang segala sampah, daun, ranting, plastik dan segala sampah yang akan melekat pada kipas pam. Sediakan bakul yang sesuai, dan segala sampah dimasukkan kedalam bakul ini.

Kalau kolam itu mempunyai kemudahan membuang airnya secara graviti maka tak perlulah pam kedua ini.

Menjemur Kolam



Setelah selesai kerja-kerja pembersihan,  kolam ini dibiarkan terjemur kepada panas matahari sekurang-kurangnya seminggu, (lebih lama lebih baik) sehingga dasar kolam itu kering dan merekah dan kita dapat berpijak dengan selesa. Kalau hujan turun ketika ini, air itu hendaklah dipam keluar dan kolam itu dikeringkan lagi. Tujuannya adalah untuk membebaskan sebanyak mungkin gas ammonia yang mungkin terperangkap dari dasar kolam.

Membuat persiapan untuk pembenihan (puyu dan sepat)

Pada waktu ini, induk ikan hendaklah disediakan, dipilih serta diasingkan mengikut jantina. Kalau anda tidak mempunyai stok, induk ini boleh dibeli dari pengusaha kolam yang lain.

Memasukkan air ke dalam kolam.

Kerja-kerja mengepam air masuk ke dalam kolam sebaiknya dilakukan pada waktu pagi supaya pada waktu petang nanti kolam ini sudah mempunyai air yang cukup untuk dibuat pembenihan. Adalah penting diingatkan bahawa kerja menyuntik ikan mesti dilakukan pada hari itu juga (selepas kolam diisi air) Jangan tunggu beberapa hari selepas diisi air baru nak menyuntik ikan.

Sebabnya, Katak.. Kalau kolam itu berada dikawasan pedalaman, kehadiran katak adalah perkara biasa, tapi untuk kerja-kerja pembenihan ikan melalui suntikan ini katak adalah musuh  no 1 bagi rega (anak ikan).

Musuh yang lain seperti serangga, kutu air, ikan pemangsa dan lain-lain mungkin sudah tiada, tetapi katak masih ada dan berkeliaran disekitar kolam. Perangai katak pula, asal ada saja air bertakung pasti dia akan melepaskan telurnya, telur itu akan menetas menjadi berudu (anak katak) berudu inilah musuh sebenar rega. Kita tidak mempunyai kemampuan untuk menghalang katak masuk ke kolam pada waktu malam.

Jadi, pada petang itu kita menyuntik ikan dan melepaskan ke dalam kolam, pada malamnya katak pula akan melepaskan telurnya disitu.Kalau kita tunggu beberapa hari selepas air dimasukkan ke kolam, alamat akan banyaklah berudu disitu dan rega yang menetas akan menjadi makanan berudu.

Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan seberapa banyak yang mungkin berudu ini dengan cara memeriksa sekeliling kolam pada pagi esoknya, asal nampak saja telur katak yang terapung-apung hendaklah dikeluarkan dari kolam. Gunakan penapis air seperti penapis teh untuk menyauknya. Kerja ini hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya 4-5 hari selepas dibuat pembenihan.

Selepas waktu itu rega sudah semakin besar dan kuat, anak katak itu pula menjadi makanan rega.

Kesimpulannya, kita hendaklah mengawal persaingan antara rega dan berudu. Jangan berudu lebih besar dari rega, kalau rega lebih besar dari berudu tidak mengapa.

Pembajaan Kolam


Kebiasaannya, pembajaan kolam dilakukan untuk kolam tanah yang akan dimasukkan benih ikan bersaiz 1 inci dan dilakukan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum anak ikan dimasukkan. 

Untuk pembenihan menggunakan kaedah suntikan ini boleh juga dibuat sekiranya dikehendaki. Cara yang termudah ialah dengan menggunakan najis ayam  yang diisi dalam beberapa guni dan diletakkan dibeberapa tempat dalam kolam itu sebelum air dipam masuk. Guni itu dikoyakkan sedikit dan diikatkan kepada batang kayu yang dipacak supaya tidak hanyut dibawa arus semasa air dipam masuk.

Dalam masa 2 minggu berikutnya najis ayam ini akan menumbuhkan fitoplankton dan zooplankton yang menjadi makanan anak ikan. Ketika itu air kolam akan bertukar menjadi warna hijau menandakan kehadiran fitoplankton dan zooplankton.

Membuat pembenihan ikan


Teknik membuat pembenihan adalah berbeza mengikut jenis ikan, dalam topik ini saya akan menunjukkan cara membuat pembenihan ikan puyu, sepat dan keli dengan menggunakan suntikan hormon Ovaprim.

Sebelum boleh melakukan pemilihan induk, kita perlu ada stok induk yang mencukupi yang disimpan sebelum ini didalam kolam khas seperti kolam simen, fiber, kolam tanah dll. (Semasa saya masih aktif dalam bidang penternakan ini, saya memiliki beratus ekor induk puyu dan sepat yang disimpan didalam kolam simen.)

Kalau tidak ada stok induk, maka induk ikan ini perlu dibeli dari pengusaha kolam ikan yang lain. Minta tolong dia supaya pilih dan asingkan induk jantan dan betina. Harga induk biasanya lebih mahal dari ikan yang dibeli untuk dimakan.

Pemilihan Induk

Untuk memilih induk, kolah tempat simpanan induk itu perlu dikeringkan airnya, Setelah air dalam kolah itu dikeluarkan barulah kita dapat melihat kesemua induk yang ada disitu untuk dipilih induk yang mana yang sesuai untuk dikerjakan.

Mengenali Jantina Ikan

Ikan Puyu

Ikan puyu betina saiznya besar, kalau kita lihat ikan puyu yang saiz hampir sebesar tapak tangan itu adalah ikan puyu betina. Ikan puyu betina yang bertelur akan kelihatan buncit perutnya. Ikan puyu jantan bentuknya bulat dan panjang dan sangat agresif. Apabila perutnya dipicit akan keluar cairan putih (air mani) seakan susu.

 Puyu Jantan








Puyu betina
Puyu Betina bertelur (perhatikan perutnya yang buncit)

Anda dinasihatkan memakai sarung tangan yang sesuai (jenis kain) semasa mengendalikan ikan ini, Ikan puyu ini sifatnya agresif, kalau tidak pakai sarung tanan, tangan anda mungkin akan terkena durinya.

Ikan Sepat

Ikan sepat betina lebih besar dan lebar bentuk badannya sementara ikan sepat jantan lebih kecil tetapi lebih panjang . Ikan jantannya kelihatan lebih agresif.
Ikan Sepat Betina


Ikan Sepat Jantan
Ikan Keli

Dari segi saiz agak sukar dibezakan, Ikan jantan lebih agresif, kalau dilihat dibawah perutnya ikan keli jantan ada belalai kecil sementara ikan betina hanya ada lubang sahaja (alat kelamin)


Memeriksa kualiti telur ikan (Puyu, Sepat dan Keli)

Kualiti telur ikan juga perlu diperiksa, caranya ialah induk betina itu dipegang dalam keadaan menelentang dengan sebelah tangan, (kalau ikan keli yang besar kena 2 orang pegang). Sementara sebelah tangan lagi mengurut perlahan-lahan perutnya sampai keluar sedikit telurnya. Kalau ikan keli yang besar cara untuk mengendalikannya ialah dengan menutup matanya dengan kain. Ikan ni bila matanya ditutup dia akan diam mungkin dia rasa dalam keadaan selamat sebab tak nampak apa-apa.




Lihat warna telur yang keluar itu, kalau warnanya putih atau kemerah-merahan bermakna telur itu belum matang Kalau telur itu berwarna hijau atau kehitaman bermakna telur itu sudah matang dan sudah boleh dibuat pembenihan. Kalau telur yang belum matang dibuat pembenihan, Ikan itu akan melepaskan telurnya, tetapi telur itu tidak akan menetas (sambang).


Hormon dan Jarum Suntikan


Menurut pada label yang tertulis di botolnya "Use at 0.5 ml/kg of fish by injection" bermaksud penggunaan hormon sebanyak 0.5 ml bagi sekilo ikan melalui suntikan. Induk ikan perlu ditimbang terlebih dulu, sekiranya berat ikan mencapai sekilo maka jumlah hormon yang diperlukan ialah sebanyak 0.5 ml. Sebotol hormon itu mengandungi 10 ml. 

Untuk menyuntik ikan puyu dan sepat, kebiasaannya saya menggunakan jarum untuk suntikan insulin (0.1 ml) Jarum ini mempunyai penanda aras 10 - 100 (10 tanda takuk) satu takuk untuk satu ekor induk. Ini bermakna satu jarum itu boleh digunakan untuk 10 ekor induk puyu atau sepat.

Bagi ikan keli yang beratnya sekilo, satu jarum itu hanya boleh digunakan untuk 2 ekor induk sahaja.


Teknik menjimatkan penggunaan Ovaprim



Khusus Untuk Para Penternak Ikan!!!

Yang menggunakan Hormon Ovaprim untuk melakukan pembenihan ikan. 
Harga sebotol hormon dipasaran sekarang bernilai RM100.00 keatas dengan 
isipadu 10 ml.

Berapa banyakkah jumlah induk ikan yang dapat disuntik dengan 
jumlah 10 ml ini?? Mengikut penerangan dibotol Ovaprim itu, penggunaannya 
adalah sebanyak 0.5 ml bagi berat setiap satu kilogram ikan. 
Carta penggunaannya adalah seperti dibawah

Berat Ikan
Jumlah hormon
Jenis ikan
10 ml Ovaprim boleh digunakan untuk :-
100 gram
0.01 ml
Puyu, Sepat, dll
100 ekor induk
1 kg
0.5 ml
Keli, Patin, Baung, dll
20 ekor induk
2 kg
1 ml
Keli, Patin, Baung, dll
10 ekor induk

Kini, ada teknik terbaru untuk menjimatkan penggunaan hormon  
dengan cara mencampurkannya dengan bahan tertentu menggunakan 
kaedah tertentu sehingga penggunaannya dapat ditingkatkan sebanyak 
100 kali ganda dengan kesan yang sama seperti menggunakan 100 % 
hormon Ovaprim asli. 

Bahan campurannya amat mudah diperolehi, murah dan selamat 
digunakan. Kaedah campurannya juga sangat mudah dan boleh dibuat oleh 
sesiapa sahaja tanpa memerlukan kelengkapan makmal yang rumit.

Berikut adalah pertambahan jumlah ikan yang dapat disuntik menggunakan 
formula ini :

Berat Ikan
Jumlah hormon
Jenis ikan
10 ml Ovaprim boleh digunakan untuk :-
100 gram
0.01 ml
Puyu, Sepat, dll
1000 ekor induk
1 kg
0.5 ml
Keli, Patin, Baung, dll
200 ekor induk
2 kg
1 ml
Keli, Patin, Baung, dll
100 ekor induk

Teknik ini telah diguna oleh saya sejak 2008 sehingga sekarang dengan 
tiada apa masalah, teknik dipelajari dari “Old Timer” yang telah bergiat dalam 
bidang perikanan selama lebih 30 tahun. 

Bayangkan berapa banyak wang yang 
dapat anda jimatkan!!!

Panduan disediakan dalam Ms Word dan dijual dengan harga 
RM30 sahaja Sesiapa yang berminat, sila hubungi saya :-

019-6741196
016-9007857 (WhatsApp)
kopetas30@gmail.com

Hubungi saya untuk mendapatkan No Akaun Bank untuk membuat bayaran, 
Sila berikan email anda setelah mwmbuat bayaran, Panduan akan dihantar ke e-mail 
anda setelah bayaran diterima.

Bonus !!!

Sebagai tanda penghargaan, sebuah buku Panduan Lengkap Penternakan 
Udang Galah (PDF) akan diberikan kepada pembeli buku panduan saya 
secara percuma. Buku yang menjadi rujukan utama saya dalam bidang penternakan 
udang galah bertajuk :-

"Farming Freshwater Prawn, A Manual for the Culture of the 
Giant River Prawn (Macrobrachium Rosenbergii)" 
dikeluarkan oleh Food and Agriculture Organization (FAO) 
of the United Nation. 219 halaman

2 comments: