Tuesday, September 29, 2015

Ikan Puyu Sepat Keli Tilapia Udang Galah Haruan

My Contacts:-
6019-6741196
6016-9007857 (WhatsApp)
kopetas30@gmail.com
Salahuddin

Pembekal Atap Rumbia / Atap Nipah
Pembekal Kayu Nibong dan Buluh
Penternakan Itik Penelur dan Pedaging
Benih Puyu Sawah / Puyu Siam untuk dijual


Pendahuluan

Sistem penternakan ikan ada yang menggunakan kolam tanah, sistem sangkar, tangki PVC, kolam simen, asbestos dan lain-lain. Setiap kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah yang paling sesuai dan paling menguntungkan berdaskan kemampuan, ilmu, pengalaman serta modal yang kita miliki.. 

Dalam blog ini saya akan menulis secara khusus mengenai penternakan ikan Puyu, Sepat dan Keli yang menggunakan sistem kolam tanah. dimana saya mempunyai sedikit pengalaman menternak ikan tersebut untuk dikongsikan dengan anda semua.

Teknik yang saya gunakan ialah menyuntik hormon kepada induk (puyu dan sepat) dan dilepaskan terus ke dalam kolam. Induk akan melepaskan telur ke dalam kolam dalam masa 12 jam. Dan dalam masa 12 berikutnya telur itu akan menetas (24 jam). Rega atau anak ikan itu terus dipelihara dalam kolam itu sehingga mencapai saiz jualan.

Saya juga akan menyentuh bagaimana membuat pembenihan udang galah, ikan tilapia, ikan haruan dan ikan ketutu tanpa menggunakan sebarang hormon.

Bagi ikan keli, patin dan baung (kategori catfish) memang tidak ada cara lain selain dibedah ikan jantan untuk diambil spermanya dan digaulkan dengan telur yang diambil dari ikan betina. Jangkamasa penternakan bagi ikan puyu adalah 4-6 bulan, bagi ikan sepat 6-8 bulan dan bagi ikan keli hanya 3 bulan sahaja. Hormon yang saya gunakan adalah dari jenis Ovaprim dikeluarkan oleh syarikat Syndel dari Kanada.

Jenis-Jenis Kolam


Selain dari kolam tanah, kolam jenis lain yang digunakan ialah kolam berbentuk sangkar yang diletakkan didalam sungai, parit taliair, kolam diperbuat dari simen, pvc, asbestos, dan kanvas.

Secara peribadi, saya lebih suka memilih kolam tanah. Kedalamannya  3 - 4 kaki sudah cukup (lebih dalam lebih baik, tapi jangan dalam sangat sampai 10 kaki nanti susah nak pam), yang penting permukaannya mesti luas. (Lebih luas  lebih baik.)

Kelebihan Kolam Tanah :-


  • Ruang kolam yang luas - mempunyai kadar oksigen terlarut atau dissolve oxygen (DO) yang tinggi hasil dari pancaran cahaya matahari dan angin yang bertiup.
  • Ruang yang luas, ikan hidup lebih bebas. Mengurangkan stress kepada ikan. Ikan lebih cepat membesar
  • Kadar kematian ikan minima.
  • Boleh menghasilkan ikan dalam jumlah yang besar. (Tan)
Suhu air pada malam hari adalah suhu alam semulajadi, suhu dalam kolam tanah 33° C - 35° C. Suhu badan manusia normal ialah 35° C. Suhu dalam kolam simen 30° C (sejuk). Suhu dalam kolah PVC 33° C. (sila uji sendiri guna termometer)

Sebab itulah pembenihan ikan dalam kolam simen jarang yang berjaya kecuali menggunakan alat pemanas dan alat bantuan oksigen. Pembenihan dalam kolam tanah selalunya berjaya menghasilkan ribuan anak benih ikan tanpa perlukan sebarang alat pemanas atau alat bantuan oksigen.(kolam perlu luas)


Pemilihan tapak kolam

Perkara yang harus dipertimbangkan sebelum memulakan projek, kegagalan dalam memilih tapak yang baik akan membawa kegagalan projek ini. Berikut antara perkara yang perlu dipertimbangkan :-

1-Jenis Tanah
Tentukan jenis fizikal dan kimia tanah, Paras mata air dan keupayaan menakung air. Elakkan tanah berpasir, gambut dan berasid. (PH tanah yang sesuai 7.00 – 8.5) Elakkan kawasan rendah, yang sering dilanda banjir atau kemarau panjang.


2-Kedudukan dan Saiz Kolam
Sebelum memulakan kerja-kerja mengorek kolam, tentukan dahulu arah tiupan angin. Kolam yang baik hendaklah dikorek memanjang mengikut arah tiupan angin. Ini supaya angin dapat bertiup diseluruh kawasan permukaan kolam untuk menghasilkan oksigen terlarut (DO)  yang mencukupi untuk ikan yang padat dalam kolam. Sebarang jenis pokok juga tidak boleh ditanam  disekeliling kolam supaya tidak menjadi penghalang kepada tiupan angin.  (kalau nak buat pertanian cari tanah lain la..) Saiz kolam yang terlalu kecil tidak ekonomik. Sekurang-kurangnya 40 x 60 kaki persegi bagi sebuah kolam.

3-Pasaran
Pastikan ikan yang dihasilkan boleh dijual tanpa masalah.

4-Bekalan Air untuk kolam
Untuk mengisi kolam, Mengganti air yang meresap, membersihkan kolam dan kecemasan.

Air perlu dilihat dari 2 sudut :-

Kualiti dan Kuantiti
-Kualiti-Sumber bekalan air yang berkualiti (PH antara 6.5 – 8.5)
-Kuantiti-Mesti terdapat dengan banyak, mudah diperolehi dan berterusan. Contohnya dari parit taliair, sungai, tasik, lombong, mata air dan lain-lain. Kemudahan untuk membuang air kolam juga perlu diperhatikan, samada dibuang secara graviti atau dipam keluar.

5-Prasarana, rumah, setor, bekalan elektrik dan air
Untuk kemudahan pekerja. Setor untuk menyimpan peralatan seperti pam air, makanan ikan dan lain-lain.

6-Kenderaan dan Perhubungan
Kenderaan seperti lori, van, kereta dan motor serta jalan raya yang baik diperlukan untuk kemudahan pekerja, membawa masuk bekalan makanan, benih, membawa keluar ikan untuk dipasarkan dan lain-lain.

Elakkan kawasan yang sangat terpencil dan tiada kemudahan asas.

7-Kecemasan
Tidak jauh dari Balai Polis, Hospital dan Bomba yang boleh dihubungi ketika kecemasan. Tidak jauh dari Jabatan Perikanan dan boleh dihubungi ketika kecemasan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat. (Sebaiknya hendaklah mendapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Perikanan terdekat sebelum pemilihan tapak lagi)

8-Sosial dan kemasyarakatan
Menjaga hubungan baik dengan masyarakat sekeliling untuk mengelakkan permusuhan dan dendam yang boleh mengakibatkan kecurian ikan atau dikhianati (kolam diracun).


Penulis sewaktu menghadiri kursus Pembenihan Ikan Air Tawar di Pusat Pengembangan Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia, Perlok, Jerantut, Pahang, Ogos 2008.

No comments:

Post a Comment