Sunday, October 7, 2012

Pembenihan Ikan Puyu dan Sepat

Menyuntik Induk

Pembenihan Ikan Puyu


Induk puyu betina dipilih melalui pandangan mata zahir perutnya sudah betul-betul buncit dan apabila diurut perutnya keluar telur yang sudah hijau. 









Untuk memudahkan kerja menyuntik, sirip pektoral diselak keatas dan dipegang dengan ibu jari
Pakai sarung tangan yang sesuai, pegang induk puyu dengan sebelah tangan, letakkan jarum suntikan dibawah sirip pektoralnya. Kecondongan jarum lebih kurang 30% dan menghala kearah kepalanya. (Pegang ikan betul-betul takut dia  mengelupur semasa disuntik). Tekankan jarum kedalam badan ikan, kalau tak masuk jarum tu mungkin terkena pada sisiknya, alihkan jarum ke celah sisiknya dan tekan perlahan-lahan Kedalaman jarum jangan lebih dari 0.5 mm. Setelah jarum terbenam, suntik hormon sebanyak 0.01 ml Ovaprim dan dengan berhati-hati  lepaskan ikan ke dalam takungan yang sesuai (kolah pvc, fiber, kanvas atau kolam tanah dll),  Suntik ikan puyu jantan dengan cara yang serupa dan lepaskan kedalam  takungan. 

Kebiasaannya kerja-kerja ini dilakukan pada waktu petang (pukul 6.00 ptg keatas) supaya apabila malam nanti ikan akan mengawan dan melepaskan telurnya. Keesokan paginya kita akan dapat melihat telur ikan puyu terapung-apung di merata-rata didalam kolam itu.(induk puyu akan melepaskan telur dalam masa 12 jam selepas disuntik, dan 12 jam berikutnya telur-telur itu akan menetas) Pada pukul 6.00 ptg hari berikutnya kita sudah dapat melihat anaknya. Saiz anak puyu pada masa itu sangat kecil. Kalau dibandingkan dengan jentik-jentik nyamuk, saiznya adalah 3 kali lebih kecil. Kebiasaannya saya kan menggunakan kanta pembesar untuk melihat anak-anak puyu itu yang berserakan diseluruh kawasan kolam.






Seekor rega puyu berumur sehari dilihat melalui kanta pembesar


Jumlah induk yang diperlukan adalah mengikut saiz kolam, bagi kolam bersaiz 40 x 60 kaki, 30 induk betina dan 10 ekor induk jantan sudah memadai untuk memenuhkan kolam ini dengan  ribuan anak puyu yang padat.

Selepas rega ini menetas ia tidak perlu diberi makan apa-apa, selepas 3 hari barulah diberi makan, ini disebabkan setiap rega yang menetas membawa bersamanya kantung makanan diperutnya yang boleh bertahan selama 2-3 hari. Makanan yang paling mudah ketika itu adalah tepung ikan atau makanan ikan starter yang dihancurkan menggunakan blender. Tidak perlu banyak, hanya beberapa sudu serbuk ini ditaburkan disekeliling kolam. Kalau anda dapat menternak makanan hidup (rotifer dan moina) adalah lebih baik. menternak makanan hidup ini boleh dibuat sendiri bagi yang berkemampuan. Kalau tidak boleh cukuplah sekadar tepung ikan atau pellet starter yang dihancurkan.

Warna rega ini adalah kehitaman ketika dia menetas sehingga berumur 3 hari. Pada masa ini, rega ini mudah dilihat, ia  banyak berkumpul ditepi kolam dibawah daun-daun rumput dan sebagainya. Kalau pergi menyuluh pada waktu malam  lebih mudah nampak.  Tapi selepas 3 hari rega ini seolah-olah menghilang, puas kita berkeliling kolam, nak tengok seekor pun susah. 

Ini disebabkan selepas 3 hari warnanya bertukar menjadi lutsinar, memang kita susah nak melihatnya, dia ada didalam kolam tetapi kita tak boleh nampak, teruskan memberi makan serbuk ikan atau serbuk pellet macam biasa. 

Selepas 2 minggu keatas, rega ini sudah bertukar menjadi anak ikan, saiznya lebih kurang suku inci atau lebih kecil (0.5 mm), ketika ini kalau diperhatikan dengan teliti kita akan nampak  riak-riak kecil tidak berhenti-henti seakan hujan renyai-renyai yang memenuhi seluruh permukaan kolam, Ketika itu tahulah kita bahawa pembenihan yang kita jalankan telah berjaya. Tahniah dan ucapkan kesyukuran kepada Allah s.w.t.

Pada waktu ini, makanannya hendaklah ditukar kepada Pellet Starter Crumble (sila tanya kedai jual makanan ikan) Teruskan memberi pellet ini sehingga umurnya sebulan barulah ditukar kepada Pellet Starter.

Menggunakan sisa ayam dari pasar sebagai makanan ikan.

Secara peribadi, setelah rega berumur sebulan keatas saya akan mula memberi makan dari sumber sisa buangan ayam dari pasar (lemak, kulit, kaki dan kepala ayam) berbanding menggunakan pellet atau perut ayam (boleh diperolehi dari pusat sembelihan ayam) Kelebihannya :-

1-Kosnya jauh lebih murah berbanding penggunaan makanan jenis pellet yang mahal di pasaran.

2-Ikan lebih cepat besar, ikan puyu sudah boleh dijual selepas 4 bulan diternak dari peringkat rega. Ikan keli 2 bulan saja sudah boleh dijual. Ikan Sepat 5 bulan.

3-Rasa ikan yang sedap dan tidak hanyir, dengan syarat sisa ayam tersebut mesti dimasak betul-betul. (Sepanjang saya menjual ikan ini tidak pernah seorang pelanggan pun yang mengadu ikan saya hanyir. Dan saya sendiri selalu menyiang ikan tanpa perlu dibilas dengan air limau, selepas digoreng memang tidak ada rasa hanyir, dan yang paling penting ialah rasanya lebih sedap dari ikan puyu liar yang ditangkap di luar)

Bahan-bahan ini boleh diperolehi dari pasar pada waktu petang setelah peniaga ayam selesai berniaga. Anda perlu ada hubungan baik dengan mereka. Bahan-bahan ini boleh diperolehi secara percuma atau dengan sedikit bayaran.

Rutin harian saya ketika itu, pada waktu petang lebih kurang pukul 5.00 saya akan pergi ke pasar untuk mengambil sisa ayam tersebut, pukul 6.00 petang saya sudah sampai ke kolam dan mula memasak sisa ayam ini menggunakan periuk besar dan api gas. Bahan ini direbus, dikacau sampai mendidih dan keluar minyaknya (sampai betul-betul masak dan lembut). Lebih kurang pukul 9.00 mlm selesailah kerja memasak sisa ayam itu, periuk itu diangkat dan dibiarkan sejuk.

Pada pagi esoknya (pukul 8.00 - 9.00 pg) minyak ayam yang terapung didalam periuk disauk dan dikumpulkan ke dalam tong. Bila sudah banyak minyak ayam ini terkumpul, saya akan memasukkannya ke dalam tong racun dan menyemburkannya kepada rumput dikawasan kolam, (sebagai racun rumput) Rumput akan mati selepas disembur minyak ini, perkara ini bukanlah disebabkan minyak ayam itu beracun, tetapi minyak yang disembur ini akan melekat pada rumput dalam tempoh yang lama, bila matahari memancar terik, minyak ayam ini akan "memanggang" runput itu.

Setelah selesai mengumpulkan minyak ayam ke dalam tong, isi sisa ayam itu disauk dari dalam periuk dan dimasukkan ke dalam sebuah bekas untuk dihancurkan. Kalau ada tulang-tulang saya akan asingkan dan buang ketempat lain. Saya menggunakan tin minyak yang dipotong 2 sebagai bekas dan dua batang kayu sebagai penumbuknya.

Dengan dua batang kayu ini serta menggunakan kekuatan 2 tangan sahaja saya menumbuk sisa ayam ini sampai hancur, (sepatutnya pakai mesin, tapi saya kekurangan modal pada masa itu) Kerja ini tidaklah begitu susah kerana isi sisa ayam ini telah lembut sebab telah dimasak sebelumnya. Sebab itu sisa ayam ini perlu dimasak betul-betul sampai lembut, kalau separuh masak, sisa ayam ini akan liat dan susah dihancurkan.

Setelah selesai kerja menghancur ini, sisa ayam ini dicampakkan terus ke dalam kolam dan ikan akan berebut-rebut memakannya.

Seperkara lagi yang tertinggal, setelah minyak ayam dikumpulkan, isi sisa ayam diambil, dihancurkan dan dicampakkan ke dalam kolam, tinggal kuahnya yang masih ada didalam periuk, kuah itu ditapis untuk mengambil cebisan-cebisan dan serdak daging yang tertinggal didasar periuk.

Bahan-bahan ini dibilas terlebih dahulu dengan air untuk membuang minyak yang masih ada, lepas itu dicampakkan ke dalam kolam yang baru dibuat pembenihan sebagai makanan rega. Tidak ada pembaziran, semuanya digunakan kecuali tulang sahaja dibuang.

Pembenihan Ikan Sepat

Kaedah menyuntik ikan sepat dan jumlah hormon yang digunakan adalah sama seperti menyuntik ikan puyu yang telah dinyatakan diatas.

Perbezaannya adalah jumlah induk jantan dan betina mesti sama, (ratio 1: 1) kalau ikan puyu kita boleh jadikan jumlahnya 1 jantan 3 betina.(ratio 1:3)

Kerana ikan sepat jenis ikan yang hidup berpasangan. Ikan sepat jantan akan membuat sarang dari buih dan ikan sepat betina akan bertelur dibawahnya. Ikan sepat jantan akan menjaga sarangnya sehingga telur itu menetas.

Kolam untuk dibuat penetasan ikan sepat sebaiknya dibiarkan agak semak sedikit, perlu ada rumput-rumput yang tumbuh ditebingnya, keladi bunting, pokok kiambang dan sebagainya. 

Kawasan ini menjadi tempat yang sesuai untuk ikan sepat membuat sarangnya. Selepas induk sepat disuntik dan dilepaskan kedalam kolam, dalam jangkamasa 2 minggu berikutnya kita akan terjumpa kelompok-kelompok buih dimerata-rata tempat dalam kolam itu. Itu menandakan dibawah buih itu ada ikan sepat yang sedang bertelur. Buih-buih itu akan menghilang selepas 2-3 hari ia wujud disitu menandakan bahawa telur sudah menetas dan anak sepat sudah bertebaran dalam kolam ini.

Ketika ini anda tak perlu memberi makan apa-apa sehinggalah anak sepat itu anda dapat lihat dengan jelas. (3 ke 4 minggu). Makanan yang sesuai adalah tepung ikan atau pellet starter yang dihancurkan.

Masalah yang dihadapi (Penternakan Ikan Puyu dan Sepat)

Menternak ikan puyu mengambil masa 4-6 bulan. Harga dipasaran sekarang adalah RM15-RM20.00 sekilo (bergantung kepada kawasan). Masalah yang sering berlaku adalah ikan puyu jantan sukar dijual kerana saiznya yang kecil. Bagi Ikan puyu betina memang tiada masalah untuk dijual kerana saiznya besar. Kebanyakan pembeli suka memilih puyu yang besar sahaja dan meninggalkan yang kecil. Pembeli lebih mudah membeli sekiranya disediakan khidmat menyiang ikan.

Ikan sepat pula tidak ada masalah untuk dijual, walau sekecil 2 jari pun habis dibeli orang. Harga dipasaran adalah sama dengan harga ikan puyu. Masalah ikan sepat adalah tempoh pembesaran yang agak lama (5-8 bulan)  sebelum boleh dijual.

14 comments:

  1. Salam,
    Sangat asyik membaca blogpost tuan. Harap dapat sambung menulis cerita ni. Saya akan berkunjung lagi

    ReplyDelete
  2. Salam, sy cukup berminat dgn blog tuan trimakasih kerna menulis, adakah tuan ada menhasilkan e-book atau apa buku panduan ternakan ikan seperti tulisan tuan dlm blog ini

    ReplyDelete
  3. Terbaik. In Sha Allah suatu hari nanti, saya akan menjadi penternak ikan yang berjaya seperti tuan. Tips dari tuan amat berguna. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal buat tuan.

    ReplyDelete
  4. Ikan puyu saya bertelur..soalan saya perlu ke saya mengasingkan ikan puyu itu dgn telur ikan puyu..telur itu ada dlm akuarium..harap balas😅

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mestilah diasingkan..nanti dimakan oleh induk nya atau puyu jantan yg yg lain

      Delete
  5. Berapa modal permulaan untuk ternak puyu.

    ReplyDelete
  6. Ank ikan puyu yg bru menetas..perlu ke sy pkai oksigen

    ReplyDelete
  7. Nak Tanya tuan dimana boleh dapat hormon utk disunti pada ikan induk

    ReplyDelete
  8. Anak puyu yang baru menetas ni perlu ke pakai oksigen..dan kenape anak puyu baru menetas lpas seminggu kebanyakannye mati..boleh bagi pencerahan

    ReplyDelete
  9. Kenapa selepas 3 hari rega mula mati hampir 80%

    ReplyDelete
  10. Saya nk membeli ikan puyu.. ble tuan bg nombor tuan untk d contact

    ReplyDelete